Hubungan AS-Rusia dijangka lebih tegang

RUSSIA mula mengiktiraf Amerika Syarikat (AS) pada 28 Oktober 1803 manakala hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara hanya terjalin secara rasmi pada tahun 1809 sebelum ia terjejas disebabkan oleh Revolusi Bolshevik pada tahun 1917.

Revolusi Bolshevik yang juga dikenali sebagai penentangan politik dan memperjuangkan nasib kehidupan rakyat berlaku di Rusia pada 6 dan 7 November 1917 sehingga mengakibatkan institusi beraja di negara tersebut digulingkan.

Revolusi itu dipimpin ketua parti Bolshevik, Vlamidir Lenin yang kemudian menjadi pemimpin Kesatuan Soviet yang ditubuhkan pada tahun 1923 selepas berakhirnya Perang Saudara di empayar Rusia, dengan mengamalkan pemerintahan berideologi komunis.

Sejak itu, hubungan antara AS dengan negara tersebut tidak mesra apabila Washington yang ketika itu dipimpin oleh Presiden, Woodrow Wilson mengarahkan semua komunikasi secara langsung dengan perwakilan kerajaan Bolshevik di Rusia diputuskan.

Bagaimanapun, hubungan normal kedua-dua negara kembali wujud pada 16 November 1933 dan pada 25 Disember 1991, AS bertindak mengiktiraf Persekutuan Rusia sebagai pengganti Kesatuan Soviet pada 31 Disember 1991.

Semasa di bawah pemerintahan komunis, Perang Dingin tercetus antara kedua-dua buah negara sehingga membawa kepada perlumbaan mencipta bom atom, nuklear, pencerobohan Afghanistan oleh Kesatuan Soviet dan peluasan ideologi komunis.

Selepas pembubaran Kesatuan Soviet itu, Washington melaksanakan kerjasama dengan Rusia dalam isu-isu global selain mempromosikan pelaburan dan perdagangan asing di negara berkenaan.

Namun, isu hubungan Rusia dengan AS itu sama ada ia tegang atau lebih mesra mendapat perhatian ramai penganalisis politik global selepas bekas Naib Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat memenangi pilihan raya Presiden pada 3 November lalu dan akan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari tahun depan.

Malah, Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak memberikan ucapan tahniah kepada Biden dengan segera sebelum badan pemilih iaitu Kolej Elektoral mengiktiraf kemenangannya pada Isnin lalu.

Ia berbeza pada tahun 2016 apabila Moscow segera mengucapkan tahniah kepada Presiden AS, Donald Trump daripada parti Republikan apabila beliau memenangi pilihan raya Presiden pada tahun 2016 dengan menewaskan bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton yang mewakili parti Demokrat.

Alasan yang diberikan jurucakap kerajaan Rusia iaitu Dmitry Peskov ialah negara itu akan memberikan komen tentang kemenangan Biden selepas keputusan rasmi diketahui.

Kolej Elektoral mengiktiraf kemenangan Biden yang memperoleh 306 undi elektoral dan Trump hanya mendapat 232 undi elektoral.

Sebelum ini keputusan tidak rasmi pemenang pilihan raya tersebut hanya diketahui melalui media negara itu.

Selepas badan pemilih itu mengiktiraf kemenangan Biden, Putin mengucapkan tahniah kepada Biden pada Selasa lalu kerana menang pilihan raya Presiden AS dan pada Khamis, Presiden Rusia tersebut melahirkan harapan bahawa bakal Presiden AS berkenaan akan membuka peluang untuk memperbaiki hubungan kedua-dua belah negara.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengucapkan tahniah kepada bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden baru-baru ini. – Foto AFP

Putin menyatakan bahawa Biden akan menggunakan pengalamannya di dalam dan di luar negara AS bagi menyelesaikan isu hubungan antara Moscow dan Washington.

Hubungan kedua-dua negara dikatakan mulai tidak mesra apabila Putin menjadi Presiden pada tahun 2012 selepas beliau menang dalam pilihan raya Presiden Rusia.

Sebelum itu, beliau menjadi Perdana Menteri negara tersebut sekali gus menyebabkannya dikenali di peringkat antarabangsa.

Ketika AS di bawah pentadbiran Trump, beliau pernah berkata: “Tidak ada mana-mana orang yang menjadi lebih tegas (ketika berhadapan dengan Rusia) berbanding dengan saya.”

Ketika memerintah, beberapa sekatan ekonomi dilakukan Trump ke atas beberapa syarikat Rusia kerana dituduh terlibat dalam jenayah siber di AS, individu-individu Rusia yang melakukan jenayah menentang kemanusiaan dan sejumlah individu yang didakwa campur tangan dalam pilihan raya di Amerika.

Namun, Putin akan berdepan dengan Biden yang dilaporkan portal berita globalriskinsight.com pernah menggelarkan Presiden Rusia itu sebagai seorang diktator.

Sehubungan itu, portal berita tersebut meramalkan pentadbiran Biden dijangka melaksanakan langkah-langkah lebih keras ke atas Rusia berbanding di era Trump bagi menghalang Moscow memanipulasi dasar-dasar AS.

Sejak tahun 2016 lagi, Rusia mampu untuk campur tangan di Afghanistan, Syria dan Libya tanpa berasa bimbang akan mendapat tindak balas daripada AS.

Justeru, seperti kata portal berita globalriskinsight.com, Rusia akan meneruskan campur tangannya di negara-negara tersebut jika Biden tidak mengambil pendirian yang tegas terhadap Moscow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here