Kuala Lumpur, Ogos-
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Muar hari ini atas tuduhan membunuh ibu, bapa serta anak saudaranya di Pagoh awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Azman Mohamed Noh, 48, di hadapan Majistret Suzana Mokhtar, lapor Kosmo.
Azman didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; Ara Ab Hamit, 76 dan Noradriana Nor Hasyim, 11, antara 1 pagi hingga 3 pagi 9 Ogos di sebuah rumah di Kampung Paya Redan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 kali.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Okt untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Dalam kejadian 9 Ogos itu, sepasang suami isteri warga emas dan cucu perempuan mereka berusia 11 tahun maut dalam kebakaran di rumah mereka,
Mohamed Nor dan Ara maut di lokasi kejadian, manakala Noradriana dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Selain mereka, seorang lagi remaja perempuan berusia 14 tahun turut cedera dalam kejadian.
Kes pada mulanya disiasat sebagai mati mengejut, namun diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh susulan laporan bedah siasat Noradriana mendapati terdapat kesan retakan di kepala dipercayai akibat dipukul dengan kayu.

















