Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota yang baharu, Syed Hussien Syed Abdullah mengangkat sumpah jawatan itu pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Syed Hussien, 40, mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Syed Hussien, dipilih sebagai ADUN Mahkota selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada 28 September lalu dengan majoriti 20,648 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
Beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menang kerusi DUN Mahkota dengan memperoleh keseluruhan 27,995 undi manakala Mohamad Haizan mendapat 7,347 undi.























