Seekor buaya tembaga sepanjang 3.35 meter ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Sungai Malim, Malim Jaya, dekat sini, semalam.
Buaya dianggarkan seberat 200 kilogram (kg) itu ditangkap menggunakan perangkap yang dipasang di sungai berkenaan susulan aduan penternak kambing dan penduduk mengenai ternakan mereka dibaham reptilia berkenaan sebelum ini.
Timbalan Pengarah PERHILITAN Melaka, Alfiesyahril Anewar Ahmad berkata, perangkap berkenaan dipasang sejak bulan lalu dan dialihkan ke beberapa lokasi di Sungai Ayer Salak, Kampung Tengah dekat Pulau Gadong, Klebang kerana tidak mengena.
“Kemungkinan ia (buaya) masuk perangkap awal pagi tadi sebab ketika pemeriksaan petang semalam, perangkap kosong.
“Perangkap ini dialihkan ke lokasi di Sungai Malim bulan lalu apabila umpan lama tidak bersentuh dan apabila anggota kita buat periksa kira-kira jam 10 pagi tadi didapati ada seekor buaya tembaga.
“Buaya ini antara yang kita syak membaham beberapa ekor kambing milik penduduk tempatan kerana terdapat banyak buaya di sungai ini,” katanya kepada media di sini.




















