PELESENAN PERKHIDMATAN PESANAN INTERNET DAN PERKHIDMATAN MEDIA SOSIAL LINDUNGI KESELAMATAN PENGGUNA

B.R.Rajan & Anetha Gunasekaran

Di Malaysia, dengan lebih daripada 8 juta pengguna Internet, keperluan untuk melindungi keselamatan pengguna kini menjadi signifikan. Pengumuman oleh pihak Kerajaan untuk melaksanakan pelesenan ke atas pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025, adalah satu langkah penting dalam memperkukuh kawal selia sektor komunikasi digital di Malaysia.

Menerusi penguatkuasaan kerangka ini, semua pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Objektif utama pelesenan ini adalah untuk memastikan platform seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, dan Telegram mematuhi garis panduan tempatan untuk melindungi pengguna daripada ancaman seperti penipuan siber, buli siber, dan penyebaran maklumat palsu. Platform-platform ini harus dipertanggungjawabkan dalam mengawal kandungan serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna mereka di Malaysia.Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Dato Zulkarnain Mohamad Yassin telah memberi penjelasan dalam satu sesi temubual ekseklusif dengan Makkal Osai baru-baru ini

Soalan:

Bagaimanakah langkah ini dapat membantu dalam membendung kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang?

Jawapan:

Peningkatan mendadak kes jenayah dalam talian, termasuk penipuan dan gangguan, serta penyebaran maklumat mengenai perjudian dalam talian, adalah satu petanda jelas bahawa tindakan tegas dan komprehensif adalah diperlukan untuk membendung masalah ini.

Buktinya, bagi tempoh antara tahun 2022 sehingga 2024, jumlah kes penipuan dan gangguan telah meningkat dengan drastik. Jumlah kes penipuan telah melonjak kepada 32,955 kes setakat Julai 2024 berbanding dengan hanya 245 kes pada 2022. Sementara itu, jumlah kes gangguan turut melonjak kepada 6,353 kes jika dibandingkan dengan 290 kes bagi tempoh yang sama. Sehubungan dengan itu, pihak MCMC telah meningkatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan mereka terhadap isu jenayah dalam talian.

Menerusi tindakan pelesenan ini, syarikat-syarikat pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial yang beroperasi di Malaysia kini tertakluk kepada undang-undang tempatan. Langkah ini membolehkan tindakan undang-undang diambil dengan lebih berkesan terhadap mana-mana syarikat yang gagal menghalang kegiatan jenayah atau melanggar syarat-syarat pelesenan. Pendekatan ini menguatkan kawalan kerajaan terhadap penyedia perkhidmatan digital dan melindungi pengguna daripada aktiviti jenayah dalam talian. Akta ini menggariskan peraturan-peraturan mengenai pengendalian perkhidmatan komunikasi dan multimedia di Malaysia, termasuk penyediaan kandungan, pemantauan aktiviti dalam talian, dan tanggungjawab platform terhadap keselamatan pengguna.

Selain itu, MCMC juga akan memperkenalkan etika-etika moral yang perlu dipatuhi oleh syarikat pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial sebagai syarat untuk meneruskan operasi di Malaysia. Tindakan ini merupakan langkah penting dalam memastikan syarikat-syarikat tersebut bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna dan selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia.

Salah satu etika penting yang akan diperkenalkan ialah melindungi kanak-kanak daripada kandungan memudaratkan. Pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial diwajibkan untuk memperkenalkan langkah-langkah keselamatan yang ketat untuk memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada bahan-bahan eksplisit atau berisiko, seperti kandungan lucah, keganasan, atau eksploitasi. Platform ini juga perlu menyediakan penapisan kandungan yang sesuai dan memberi ibu bapa atau penjaga alat untuk mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak mereka, sebagai sebahagian daripada usaha melindungi golongan muda daripada bahaya dalam talian.

Pihak pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial juga perlu meletakkan keselamatan pengguna sebagai keutamaan mereka dan ini termasuk memastikan bahawa maklumat peribadi pengguna dilindungi daripada sebarang penyalahgunaan atau pencerobohan data. Mereka juga perlu menyediakan platform yang selamat, yang membolehkan aktiviti jenayah seperti buli siber, penipuan dalam talian dan gangguan ditangani dengan pantas menerusi sistem pemantauan efektif.

Di bawah AKM1998, pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial di Malaysia mempunyai tanggungjawab besar untuk mengenal pasti, membendung, dan menghalang penyebaran maklumat yang berbahaya atau merosakkan sebelum menjadi tular. Tindakan tersebut adalah langkah penting untuk memastikan bahawa platform dalam talian tidak digunakan untuk tujuan yang boleh menjejaskan keselamatan awam, keharmonian sosial, dan keselamatan pengguna.

Soalan:

Bolehkah media sosial dikawal selia tanpa menyekat kebebasan bersuara?

Jawapan:

Tidak dinafikan bahawa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan bersuara dan berhimpun kepada semua warganegara Malaysia. Walau bagaimanapun, kebebasan ini bukanlah bermakna kebebasan tanpa batas. Sebaliknya,  kebebasan perlu diimbangi dengan tanggungjawab sosial demi memelihara ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat. Malaysia menghadapi cabaran besar dalam mengekalkan keseimbangan antara kebebasan bersuara dengan peraturan media sosial yang efektif untuk melindungi masyarakat daripada kandungan memudaratkan.

Tindakan tuntas semua lapisan masyarakat adalah perlu bagi menangani buli siber. Tanggungjawab bersama ini mencakupi pendidikan, kesedaran, sokongan kepada mangsa, serta tindakan proaktif untuk mencegah dan menangani buli siber. Menerusi kerjasama yang kukuh antara individu, keluarga, komuniti, dan pihak berkuasa, kita dapat mewujudkan ruang dalam talian yang lebih selamat sekali gus mengurangkan kesan buli siber yang semakin merisaukan. Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah buli siber, boleh laporkan aduan menerusi portal http://aduan.mcmc.gov.my/.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here