Kota Bahru, Okt-
Nisbah pesakit kanser payudara negara meningkat bermula lima tahun lepas, dengan seorang daripada 23 wanita berisiko mendapat penyakit itu, kata Ketua Perkhidmatan Surgeri Payudara dan Endokrin Malaysia Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.
Beliau berkata, jumlah itu meningkat, berbanding nisbah seorang daripada 27 wanita yang direkodkan berisiko mendapat penyakit itu sebelum 2020.
Dr Imi Sairi berkata, berdasarkan laporan itu juga didapati, nisbah kaum India lebih tinggi iaitu seorang daripada 17 wanita kaum itu berisiko mendapat kanser payudara, diikuti seorang daripada 19 wanita Cina dan setiap seorang daripada 26 wanita Melayu.
“Ini mungkin berkait rapat dengan perbezaan gaya hidup, pemakanan dan genetik, selain faktor pengambilan rokok atau alkohol,” katanya kepada Bernama di Seminar Kanser Payudara anjuran Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik, di sini hari ini.




















