Kuala Lumpur, Nov-
Perayaan Deepavali diraikan dengan penuh meriah dan warna-warni hari ini dengan penganut agama Hindu di Malaysia seawal pagi mula membanjiri kuil di kawasan masing-masing bagi menyempurnakan upacara keagamaan.
Kemeriahan Pesta Cahaya lebih bermakna dengan seluruh negara ‘diterangi’ sambutan yang menyemarakkan keharmonian dan perpaduan rakyat apabila segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum turut berkongsi kegembiraan meraikan perayaan berkenaan.
Di Selangor, Sambutan turut dimeriahkan dengan penganjuran rumah terbuka oleh Ahli Parlimen Klang V. Ganabatirau yang turut dihadiri antaranya Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Ganabatirau berkata penganjuran rumah terbuka yang diadakan secara tahunan itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kepimpinan kerajaan negeri dan persekutuan di samping berkongsi kemeriahan perayaan itu bersama masyarakat berbilang bangsa di Selangor.
Dalam pada itu, di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ketinggalan hadir menyertai ribuan rakyat memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 yang diadakan di Sentul .
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta menteri-menteri dan timbalan menteri.
Orang ramai pula dilihat memanfaatkan cuti umum sempena sambutan Deepavali dengan mengunjungi beberapa kawasan tarikan pelancong dan mercu tanda terkenal di sekitar ibu negara antaranya di sekitar KLCC, Bukit Bintang, Jalan Pudu dan juga Dataran Pahlawan.
Tinjauan di beberapa pusat beli belah di ibu kota pula mendapati orang ramai mengambil peluang untuk membeli-belah kerana terdapat tawaran istimewa dan diskaun sempena perayaan Deepavali.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilihat mengambil peluang mengunjungi dua rumah terbuka anjuran Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira dan peguam Shankar Ram sempena Pesta Cahaya .
Sementara itu di Pulau Pinang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam perutusan sambutan Deepavali mengajak seluruh keluarga Pulau Mutiara menghayati nilai kasih sayang, hormat-menghormati, perpaduan dan keharmonian yang perlu diperkukuhkan dalam hubungan kekeluargaan serta komuniti.
Beliau berharap sinar Deepavali akan sentiasa menerangi perjalanan ke arah mencapai visi Penang2030 dan Malaysia MADANI bagi memastikan segala perancangan serta pembangunan di negeri itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana pihak termasuk kaum India.
Chow turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan inisiatif dan insentif dalam memperkasakan kaum India menerusi penambahan peruntukan geran tahunan Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang daripada RM1.5 juta kepada RM2 juta pada tahun akan datang.