Seremban, Nov-
Satu klip video mencuri tumpuan apabila sebuah klinik swasta di Ampangan, di sini, menerima ‘pesakit’ tidak diundang, pagi semalam.
Video yang dimuatnaik milik klinik berkenaan di laman TikTok itu memaparkan seekor biawak yang bersaiz agak besar memasuki premis dan mengejutkan kakitangan serta doktor.
Dalam video itu, kelihatan reptilia itu merangkak dari arah longkang sebelum masuk ke klinik yang pintunya dibiarkan terbuka sebelum kakitangan wanita terkejut.
Pekerja itu melarikan diri ke dalam klinik sebelum seorang lelaki dipercayai doktor di klinik itu turut keluar untuk meninjau, namun terjatuh.
Doktor berkenaan dirakam cuba menghalau biawak itu beberapa ketika sebelum ia dilihat keluar melalui pintu sama lalu seorang lagi lelaki menutup pintu kaca.
Kejadian dipercayai kira-kira jam 10.50 pagi semalam itu mendapat 10,000 tanda suka dan 675 komen, malah turut dikongsi sebanyak 4,019 kali setakat jam 8 malam tadi.