Kuala Lumpur, Nov-
Tiada teh tarik, minuman kordial seperti sirap, dan makanan berminyak akan dihidangkan kepada pengunjung Sambutan Hari Deepavali Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia pada 23 Nov.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan, berkata perkara itu diputuskan sebagai usaha kerajaan mengurangkan pengambilan gula dalam masyarakat.
“Minuman manis seperti sirap tidak dibenarkan kerana kandungannya adalah pewarna, air, dan kandungan gula yang tidak baik untuk kesihatan.
“Penguatkuasaan penuh melarang minuman teh tarik dan kordial seperti sirap akan berkuatkuasa bermula 29 Nov ini semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya menurut Utusan Malaysia pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dijadual berangkat pada sambutan berkenaan.
Katanya, kafeteria DUN Perak juga tidak akan menyediakan teh tarik dan makanan berminyak.
“Pegawai Jabatan Kesihatan akan berada semasa persidangan DUN dan mereka akan memeriksa setiap makanan dengan kandungan gulanya.
“Mereka juga akan mengambil kira kalori makanan yang akan dihidangkan kepada menteri besar termasuk exco-exco kerajaan negeri dan pembangkang,” katanya.
Sivanesan berkata, klinik sementara akan disediakan semasa sidang DUN untuk pemeriksaan gula dan tekanan darah secara percuma.