Anetha Gunasekaran
Kuala Lumpur, Nov 25-
Tragedi kematian pempengaruh TikTok, Rajeswary Appahu, yang lebih dikenali sebagai Esha, akibat membunuh diri dipercayai berpunca daripada tekanan buli siber, mencetuskan desakan supaya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) segera dipinda.
Kes itu turut mendapat perhatian apabila seorang individu yang membuli mangsa hanya dikenakan denda RM100, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan undang-undang sedia ada dalam menangani jenayah siber.
Pengarah Urusan Quetra Consultancy, Mourhrna Reddy, menyatakan bahawa hukuman ringan seperti itu tidak memberi kesan pencegahan yang berkesan dan menuntut tindakan segera daripada pihak berkuasa.
Jenayah Siber Rentas Sempadan
Mourhrna turut menegaskan bahawa banyak kes buli siber dan jenayah digital kini melibatkan pelaku dari luar negara, menjadikan penguatkuasaan undang-undang lebih rumit.
“Platform antarabangsa seperti Facebook, Google, dan TikTok perlu mematuhi peraturan tempatan. Kita juga perlu memperkukuh kerjasama dengan pihak penguat kuasa antarabangsa untuk menangani jenayah rentas sempadan secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan seperti sekatan akaun, penghapusan kandungan berbahaya, dan siasatan mendalam dapat dilakukan dengan lebih pantas melalui hubungan strategik dengan penguat kuasa global.
Pendekatan Holistik
Bagaimanapun, menurut Mourhrna, pindaan undang-undang sahaja tidak mencukupi. Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab sosial dalam penggunaan platform digital juga amat penting.
“Pengguna media sosial perlu memahami kesan perkongsian atau komen mereka terhadap orang lain. Kita perlu memupuk budaya empati dan saling menghormati dalam interaksi di ruang maya,” katanya.
Beliau mencadangkan konsep ‘Tanggungjawab Sosial Bersama’ untuk memastikan setiap individu memainkan peranan dalam membentuk komuniti digital yang lebih sihat dan selamat.
Desakan Pindaan
Mourhrna berharap kerajaan segera meminda AKM 1998 supaya ia relevan dengan cabaran semasa dan dapat melindungi masyarakat daripada ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.
“Pindaan ini perlu untuk memperkasakan undang-undang agar ia tidak lagi ketinggalan dalam menangani cabaran era digital,” katanya.
Kes kematian Esha menjadi peringatan penting tentang keperluan undang-undang yang lebih tegas bagi melindungi pengguna media sosial daripada ancaman buli siber.