Kota Bharu, Jun-
Kelantan meluluskan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 yang menyaksikan kadar denda dinaikkan sehingga RM50,000 antaranya bagi kesalahan percampuran serta pergaulan bebas antara lelaki dan wanita tanpa batasan.
Cadangan penggubalan RUU itu bagi menambah baik Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 (Enakmen Hiburan 1998) yang berkuat kuasa selama dua dekad sejak 15 Jun 1999.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Muhamed Fadzli Hassan, berkata penambahbaikan lain adalah larangan aktiviti hiburan yang mengandungi, mempromosi, mempunyai atau diselitkan dengan unsur yang bercanggah dengan akhlak, tatasusila dan moral, menyokong atau menormalisasi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), memecah belah keharmonian dan perpaduan kaum serta menghina agama.
“Kadar denda bagi kesalahan yang dicadangkan dalam RUU ini dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 bagi memberi pengajaran kepada individu atau perbadanan supaya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
“RUU berkenaan akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Norsham Sulaiman (PAS-Semerak) mengenai status terkini Enakmen Kawalan Hiburan yang sudah lama tidak dipinda pada persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.





















