Kuala Lumpur, Dis-
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan menyelesaikan isu dokumen pengenalan diri membabitkan 12,000 pelajar dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan, kata menterinya Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata KDN yang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) telah membuat profil kira-kira 12,000 pelajar sekolah yang berada dalam sistem pendidikan arus perdana tetapi tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
“Mereka ini ada di sekolah rendah dan sekolah menengah tapi tidak memiliki dokumen pengenalan diri, misalnya perkahwinan ibu bapa yang tidak teratur menyebabkan mereka tidak mendaftar perkahwinan. Ini rekod KPM yang dikongsi dengan KDN sekitar 12,000 pelajar.
“Jumlah ini dikenal pasti kerana mereka telah berdaftar dengan Pejabat Pendidikan Daerah, tetapi KDN serta KPM akan mengemas kini data kalau ada yang tercicir dalam kategori sama,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan dokumen pengenalan diri kepada enam penerima pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di SK Pulau Mabul.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata masih ramai yang belum mengetahui dengan tepat bahawa tanggungjawab mendaftar kelahiran mesti dilakukan dalam tempoh 60 hari bagi Semenanjung, manakala 42 hari untuk Sabah dan Sarawak.
“Apabila berlaku keadaan mendaftar lewat, wujud situasi anak ke sekolah tiada pengenalan diri atau kalau tidak ada sijil lahir bila tamat sekolah, susah untuk sambung pelajaran. Kalau sakit, demam pergi ke hospital dikenakan bayaran mahal, jadi kami mahu segerakan.
“Jadi JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) tampil melalui produk ini iaitu program JPN turun padang ke kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak. Turun mencari masyarakat yang sakit terdampar di rumah, termasuk mencari mereka di rumah jagaan atau rumah orang tua dibantu berkaitan dokumen pengenalan diri,” katanya.