Nilai, Dis-
Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terperangkap dalam banjir di Jalan Taman Semarak 2, di sini, selepas hujan lebat berterusan sejak jam 3.30 petang semalam.
Kesemua mangsa bagaimanapun sempat diselamatkan oleh orang awam dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, memaklumkan bahawa pihaknya mendapat panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.19 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai bergegas ke lokasi.
“Lima mangsa dilaporkan menaiki kereta jenis Proton Saga yang terperangkap dalam banjir itu membabitkan dua lelaki, dua wanita serta seorang kanak-kanak perempuan, dan mereka telah diselamatkan orang awam sebelum bantuan tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu dalam kejadian berasingan di Jalan Besar Nilai, Pekan Lama Nilai, empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), diselamatkan selepas kediaman mereka dinaiki air setinggi 0.5 meter.



















