Kuantan, Dis-
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menangguhkan perjalanan dan memberhentikan kenderaan bagi membantu mangsa kemalangan di Jalan Sultan Ahmad berhampiran Istana Saadah, Pekan pada Ahad.
Peristiwa itu dikongsikan melalui Facebook Kesultanan Pahang.
Berdasarkan hantaran itu, baginda turun dari kenderaan untuk melihat dan bertanyakan keadaan mangsa, Siti Asiah Hussin, 47, yang memandu pacuan empat roda jenis Chevrolet Colorado dan pemandu treler, Mohamad Hafizul Faiz Ahmad, 29, yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur apabila kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berharap agar urusan mereka yang terlibat dipermudahkan.
Baginda turut menasihati semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati bagi mengelak sebarang tragedi.