Johor Bahru, Dis-
Pusat jagaan kanak-kanak swasta di Kulai, dekat sini yang tular selepas pengerusi premis itu didakwa terbabit kes rogol dan dera terhadap penghuninya, diarahkan tutup sementara.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, penguatkuasaan penutupan sementara pusat jagaan itu dibuat di bawah Seksyen 15 Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) dengan kuasa Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengulas lanjut, katanya, pada 9 Disember lalu, JKM Johor menjalankan siasatan awal dan mendapati 55 kanak-kanak berada di pusat jagaan terbabit.”Hasil siasatan dan intervensi awal, 32 daripada keseluruhan kanak-kanak terbabit dipulangkan kepada ibu bapa kandung mereka pada 10 Disember lalu.
“Baki 23 kanak-kanak terdiri 10 lelaki dan 13 perempuan diselamatkan dan ditempatkan di ‘safe place’ (lokasi perlindungan) di bawah kendalian JKM yang diwartakan di bawah Akta Kanak-kanak 2001.
“Semua 23 kanak-kanak diselamatkan itu turut dibawa ke Mahkamah Kanak-Kanak pada 11 Disember untuk mendapatkan Perintah Sementara mengikut Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Mahkamah membenarkan mereka ditempatkan di tempat selamat yang diwartakan di bawah akta berkenaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.