Bayan Lepas, Dis-
Sebuah kereta terbabas dan terbakar selepas dikatakan terlanggar bateri yang ditinggalkan di tepi jalan di Kilometer 18 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di sini, hari ini.
Kejadian membabitkan kereta jenis Mercedes C200 itu menyebabkan aliran trafik sesak teruk di arah Batu Kawan menuju Batu Maung sehingga lebih lima kilometer.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohd Firdaus Mohd Saad, berkata sepasukan 12 anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi penyelamatan dengan dibantu BBP Batu Kawan, sebaik menerima panggilan jam 3.18 petang.
“Sebaik tiba, dua mangsa yang menaiki kereta itu membabitkan lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an berjaya menyelamatkan diri.
“Pasukan penyelamat mengambil masa 15 minit untuk memadam dan mengawal kebakaran itu,” katanya hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan kenderaan itu dipercayai terlanggar bateri kereta ditinggalkan di tepi jalan sebelum terbabas dan terbakar.