Kuala Lumpur, Jan-
Ribuan ahli MIC akan hadir perhimpunan 6 Jan ini yang diadakan bagi menyatakan solidariti kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan, yang mempertahankan perhimpunan itu sebagai ‘melangkaui parti dan politik perkauman’ berkata ia bertujuan mendapatkan keadilan untuk Najib berkait perintah adendum.
“Tiada agenda politik. Perhimpunan aman oleh ribuan rakyat Malaysia pada 6 Jan ini bagi menunjukkan solidariti kepada Najib,” kata Ahli Parlimen Tapah dalam kenyataan.
Perhimpunan anjuran PAS akan diadakan pada hari sama Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib mengenai perintah tambahan yang didakwa meletakkannya bawah tahanan rumah.
Umno juga dijangka menyertai perhimpunan itu dengan lebih 200 bas membawa penyokong Najib ke Istana Kehakiman di Putrajaya. Pemimpin Bersatu juga dijangka hadir.
Ia adalah kali pertama Umno dan PAS ‘bersama’ sejak Muafakat Nasional berakhir pada 2022.
Najib ketika ini menjalani hukuman penjara enam tahun, selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman asal 12 tahun, susulan sabitan dalam kes SRC International.