Timbunan stok baju jenama tiruan penuh dalam rumah PPR, lelaki ditahan

Georgetown, Jan 10.
Seorang peniaga meraih RM1,000 sehari hasil berniaga baju jenama tiruan di media sosial selama enam bulan sebelum kegiatannya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, A. Mogan, berkata serbuan pada jam 3 petang itu mendapati lelaki berusia 27 tahun terbabit menjadikan satu rumah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), di Air Itam di sini, hari ini sebagai tempat simpanan stok pakaian jualannya dengan bayaran sewa RM500 sebulan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas premis berkenaan menemukan pakaian menggunakan cap dagangan berdaftar pelbagai jenama ternama disyaki palsu yang memenuhi segenap ruangan flat yang terletak di aras paling bawah sehingga hampir mencecah siling premis terbabit.

“Jumlahnya terlalu banyak dan belum habis dikira tetapi pihak kami sudah menyita 5,050 helai pakaian menggunakan cap dagangan jenama berkenaan untuk siasatan lanjut yang dianggar bernilai RM40,400.

“Serbuan itu dijalankan selepas pihak kami menerima aduan daripada pemilik wakil cap dagang dengan modus operandi kes ialah lelaki terbabit menjalankan aktiviti jualan melalui siaran langsung menggunakan aplikasi media sosoal,” katanya kepada pemberita.

Mogan berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mendakwa dia telah menyimpan stok pakaian tersebut yang diperoleh daripada pembekal dari Kuala Lumpur sejak 2020 namun dia hanya mula menjual barangan tersebut termsuk secara langsung menerusi platform TikTok sekitar pertengahan tahun lalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here