Budak perempuan 14 tahun, lelaki 57 tahun dilaporkan hilang

Kuala Lumpur, Jan-
Polis meminta bantuan orang ramai mengesan dua individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata laporan kes orang hilang pertama diterima pada jam 12.31 tengah malam tadi membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun.

Katanya, mangsa bernama S. S .Bala Murugan dan lelaki itu kali terakhir dilihat di Seksyen 19, Petaling Jaya dekat sini, kira-kira jam 9.20 malam, kelmarin. Semasa kejadian, mangsa dikatakan memakai kemeja berkolar serta seluar berwarna biru gelap.

Shahrulnizam berkata kes orang hilang kedua membabitkan seorang remaja perempuan berusia 14 bernama Puteri Rania Qaleysya Ibrahim dengan laporan berhubung kehilangannya diterima pada jam 8.39 malam tadi.

“Mangsa kali terakhir dilihat berada di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai 1, Jalan PJU 1A/40 Ara Damansara, Petaling Jaya, pada jam 1.11 tengah hari, semalam.

“Mangsa berketinggian 150sm dengan berat badan 42kg, berkulit hitam manis, hidung mancung, bibir nipis dan bentuk badan kurus dan bertudung,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Maliki Arifin menerusi talian 013-8308485 untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berhubung kedua-dua mangsa dengan tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi talian 03-79662222.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here