Kuala Lumpur, Jan-
Kementerian Pendidikan sedang menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah, bertujuan mengatasi isu berkaitan kehadiran dan keciciran pelajar, sekali gus dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata dasar berkenaan dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Beliau berkata, pengenalan dasar baharu itu antara lain bertujuan mengatasi isu ketidakhadiran pelajar pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang.
“Ini antara langkah yang dapat kita laksanakan sebaik mungkin bagi mengatasi isu berkait rapat dengan kehadiran, keciciran dan peningkatan kualiti pendidikan dalam negara.” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 di sini, hari ini.





















