Nibong Tebal, Jan-
Pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) yang dalam perjalanan menghala ke utara, dilaporkan terpaksa menempuh kesesakan luar biasa hingga lebih 10 kilometer (km) susulan kemalangan membabitkan tiga lori, hari ini.
Kemalangan jam 7 pagi itu berlaku di Kilometer (KM) 157 berhampiran kawasan Hentian Sungai Bakap dari Jawi menghala ke Juru.
Kemalangan itu dikatakan menyebabkan kedua-dua laluan terhalang, selain terdapat muatan tanah yang dibawa sebuah lori terbabit tumpah dan memerlukan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan.
Beberapa status yang dimuat naik pengguna media sosial Facebook (FB) yang melalui lebuh raya itu, memaklumkan mereka tersangkut lebih dua jam sehingga lewat ke tempat kerja.
Selain itu, rata-rata pengguna yang mengaku kerap melalui laluan berkenaan turut meminta supaya siasatan dijalankan kerana mendakwa kemalangan kerap berlaku di kawasan terbabit.




















