Kuala Lumpur, Jan-
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) memohon kerajaan memberi kelonggaran untuk membawa masuk lagi pekerja asing dengan tujuan menampung kekurangan 25,000 tenaga kerja dalam sektor restoran.
Presiden Presma Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan supaya masalah berkenaan tidak berlarutan kerana ketika ini,kurang 18 peratus pekerja asing berdaftar dalam sektor restoran di negara ini.
Justeru, Jawahar berharap kerajaan memberi pertimbangan kepada tiga perkara utama untuk dikaji semula iaitu memperkenalkan semula dasar gantian bekerja menerusi ‘Checked-Out-Memo'(CMO) di kaunter keluar imigresen, menganjakkan had umur pekerja dan menangguhkan sistem levi berperingkat.
“Dulu ada sistem gantian pekerja asing iaitu katakan ada 10 kuota (pekerja) dan bila ada seorang balik (ke negara asal), akan ada yang ganti.
“Sistem itu banyak membantu kami sebelum dihentikan. Selain CMO, kita juga mohon kerajaan anjakan had umur untuk tampung kekurangan pekerja asing. Ia kerana dalam industri (sektor restoran), tak sampai 50,000 pekerja asing pun.
Sementara itu, Presiden Primas Datuk J. Govindasamy turut berharap kerajaan meneliti semua rayuan pihaknya dan Presma dalam menangani masalah kekurangan pekerja asing di sektor restoran.
Katanya, dasar CMO salah satu inisiatif baik yang perlu dikembalikan kerana diyakini membantu dalam menyelesaikan masalah.
“Kembalikan CMO kerana ada kalanya, pekerja asing nak balik ke negara mereka sebab berkahwin, ahli keluarga sakit atau meninggal dunia.
“Dalam erti kata lain, mereka nak pulang sebab isu peribadi dan kami tak boleh halang terlalu lama.
“Tapi bila hantar pulang, mereka tak kembali dan disebabkan itu mahu kerajaan ambil langkah bagi membantu kami menangani isu ini,” katanya.




















