Racun berjadual disahkan dalam gula-gula Apple S

Putrajaya, Jan-
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan produk gula-gula jenama Apple S mengandungi racun berjadual yang tidak berdaftar dengan kementerian.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati produk terbabit mengandungi sibutramine iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal selera makan.

Katanya, sibutramine adalah sebatian kimia yang bertindak di otak sebagai penyekat rasa lapar atau selera makan yang digunakan dalam kebanyakan produk.

KKM berkata, ia bertujuan menguruskan badan dan ubat terbabit tersenarai dalam bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.

“Antara kesan sampingan sibutramine yang dilaporkan adalah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju (tachycardia) walaupun dalam keadaan rehat.

“Selain kesan sampingan serius, berlaku juga kesan sampingan ringan seperti mulut kering, mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya,” katanya.

KKM berkata, produk terbabit tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, antaranya tiada nama sebenar produk dalam bahasa Melayu dan tiada maklumat mengenai pengilang, pembungkus, pengedar, atau pemilik hak pengilangan serta pengimport.

Justeru, produk berkenaan tidak dibenar diiklankan atau dijual mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang mempunyai stok produk terbabit diarah menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

“Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang menggunakan produk itu perlu menghentikannya serta-merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan ahli profesional kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here