Mayat dan motor dijumpai dalam parit

Mayat dan motor dijumpai dalam parit

Sungai Besar, Mac.
Misteri kehilangan seorang remaja perempuan sejak minggu lalu terungkai apabila mayatnya ditemukan bersama sebuah motosikal di dalam parit di Kilometer (KM) 54 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Parit Changkat, Sungai Haji Dorani, di sini, semalam.

Mayat mangsa berusia 17 tahun itu dijumpai kira-kira 30 meter dari motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dipercayai ditunggang remaja berkenaan ketika kejadian.

Difahamkan, seorang pengguna jalan raya yang melalui lokasi berkenaan ternampak kenderaan itu sebelum menghubungi pihak bomba dan polis, kira-kira jam 11.10 pagi.Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata berdasarkan keterangan kes, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Air Tawar pada jam 12.20 tengah malam 27 Februari lalu berhubung kehilangan anaknya itu.

“Pengadu memaklumkan bahawa kira-kira jam 8.20 malam 25 Februari lalu, mangsa telah keluar rumah untuk mengambil duit gaji di sebuah kafe politeknik di Sungai Air Tawar, dengan menunggang motosikal kakaknya.

“Kali terakhir ibu mangsa menghubungi anaknya itu ialah kira-kira jam 3 pagi dan dia tidak memaklumkan keberadaannya ketika itu. Mangsa kemudian dihubungi sekali lagi tetapi gagal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika remaja itu dalam perjalanan dari arah Sekinchan menghala ke Sabak Bernam.

“Sebaik saja tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di Sabak Bernam untuk bedah siasat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here