Kuala Lumpur, Jan-Perbicaraan kes ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin yang didakwa atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu akan diteruskan bermula 3 Februari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas menolak permohonan pihak pembelaan untuk melapangkan perbicaraan yang dijadualkan pada Februari dan Mac ini.
“Oleh kerana permohonan (notis usul) ini masih belum didengar di Mahkamah Tinggi (Shah Alam), mahkamah akan meneruskan dengan perbicaraan pada 3 sehingga 7 Februari ini,” kata hakim itu ketika sebutan kes hari ini.
Sebelum ini, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, memohon untuk melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada Februari dan Mac ini, sementara menunggu pelupusan usul notis di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac depan ini dan seramai 15 saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes berkenaan.




















