Kuala Lumpur, Feb-
MIC menggesa perdana menteri campur tangan dalam isu mengenai garis panduan yang sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menyentuh undangan kepada orang Islam ke majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Garis panduan tersebut antara lain menyatakan pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
Timbalan Presiden M. Saravanan menyifatkan langkah itu sebagai tidak perlu dan boleh mengganggu keharmonian.
Beliau bertanya sama ada orang bukan Islam kini perlu mendapatkan kelulusan daripada Jakim sebelum mengundang tetamu Islam dan sama ada kebenaran diperlukan bagi orang Islam untuk memberi penghormatan terakhir kepada rakan bukan Islam yang meninggal dunia.
Saravanan berkata arahan yang dicadangkan itu memperkecilkan usaha pengasas Malaysia yang membina negara ini atas dasar kepercayaan, toleransi, dan muhibah dalam masyarakat majmuk.
“Negara berkembang maju dalam perpaduan dan keputusan yang dicadangkan ini mengganggu keharmonian yang kita pelihara selama beberapa dekad,” katanya.
Saravanan mengingatkanan bahawa keputusan itu boleh menjadi liabiliti politik kepada kerajaan, yang berpotensi menyebabkan orang bukan Islam menjauhkan diri.
“Jika kerajaan menyalahkan pembangkang kerana menggunakan kaum dan agama untuk memecahbelahkan rakyat, ia tidak boleh dilihat melakukan perkara yang sama,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan mengadakan libat urus dengan semua komuniti sebelum membuat keputusan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
“Kerajaan mesti memastikan dasar yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam dibuat melalui perundingan yang sewajarnya dengan semua kaum,” katanya.






















