Georgetown, Feb-
Pelancong asing cedera di kepala selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli belah di Persiaran Gurney, di sini semalam.
Gambar kejadian itu yang membabitkan lelaki berusia 25 tahun itu turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, terdahulu panggilan diterima pihaknya pada jam 1.55 petang berhubung kejadian.
Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 1.54 petang dan mangsa adalah pelancong lelaki warga asing berusia 25 tahun.
“Lelaki terbabit dipercayai mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terjatuh dari tingkat tujuh bangunan.
“Mangsa dihantar ke hospital oleh ambulans dalam keadaan separuh sedar pada jam 2.20 petang,” katanya dalam kenyataan media.
Mengulas lanjut Abdul Rozak berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah ditemukan di tempat kejadian.