Sajian kurang gula dalam majlis jabatan kerajaan di Perak – EXCO

Ipoh, Mac-
Penggunaan gula dalam minuman dan makanan yang disajikan di semua majlis anjuran jabatan kerajaan di Perak disaran dikurangkan sebanyak 50 peratus, termasuk ketika mesyuarat.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan berkata meskipun kerajaan sudah menetapkan garis panduan berkaitan cara hidangan makanan semasa mesyuarat, namun perkara itu tidak diambil serius pihak berkaitan.

“Kita akan bawa isu ini selepas mendapat maklum balas (menerusi sesi libat urus bersama pihak berkaitan), sebelum dibawa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri untuk kelulusan (arahan kurangkan gula).

“Memang kita ada kelulusan daripada Kementerian Kesihatan, tetapi untuk keberkesanan di peringkat negeri, saya minta supaya dibawa kepada MMK dan MMK akan memberi kelulusan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Taklimat Pengukuhan Pelaksanaan Penyajian Hidangan Sihat Semasa Mesyuarat (PHSSM) Dalam Perkhidmatan Awam Selari Kempen Perangi Gula Negeri Perak 2025 semalam.

Sivanesan dalam ucapannya berkata Kempen Perangi Gula yang telah beliau lancarkan sebelum ini adalah antara usaha kerajaan mencegah rakyat Malaysia daripada terus leka dan menjadi mangsa kepada penyakit berkaitan pengambilan gula secara berlebihan.

“Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada mengubati kerana apabila kita sakit, kos rawatan itu terlalu tinggi, kualiti hidup kita juga akan merosot,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here