Mangsa kebakaran akan diberi komputer riba, telefon pintar, tablet

Kuala Lumpur, Apr-
Kementerian Digital akan menyediakan masing-masing 100 unit komputer riba, telefon pintar dan tablet kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata kementeriannya juga akan mengagihkan 500 power bank kerana banyak peranti mangsa hilang dan rosak dalam kebakaran itu. Katanya, mangsa boleh memohon peranti itu melalui pejabat Adun Kota Kemuning, S. Preakas.

Menurutnya, MyDigital Corporation akan bekerjasama dengan pejabat menteri besar Selangor serta Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor untuk menyediakan platform dalam talian bagi memberikan maklumat terkini situasi semasa kepada mangsa.

“Saya juga mengambil kesempatan ini merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak bertungkus lumus membantu mereka yang terjejas dengan insiden ini.

“Kementerian Digital dan agensinya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak terjejas. Menjadi harapan kami mangsa cedera akan pulih secepat mungkin dan mereka yang mengalami kerugian menerima bantuan diperlukan pada masa sukar ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata Yayasan Islam Darul Ehsan akan menyumbang peralatan sekolah dan pakaian seragam kepada pelajar terjejas akibat kebakaran itu untuk mereka kembali ke sekolah minggu depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here