Kuala Lumpur, Apr-
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang undang-undang daripada Universiti Shenandoah, Amerika Syarikat.
Anugerah disampaikan Presiden Universiti Shenandoah, Dr Tracy Fitzsimmons, dalam satu majlis di Pusat Aktiviti Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak, di sini.
Penganugerahan kedoktoran itu kepada Anwar adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Perdana Menteri dalam kepimpinan dan pembangunan masyarakat.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari.
Anwar ketika menyampaikan ucapan penghargaan berkata, beliau menerima ijazah kedoktoran itu secara terbuka, dan menyifatkan penganugerahan berkenaan bukan kerana jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Universiti Shenandoah ditubuhkan lama sebelum saya menjadi Perdana Menteri, anugerah ini tidak diberikan kepada saya kerana kebetulan saya seorang Perdana Menteri, tetapi ia untuk kerja yang kita lakukan bersama bertahun-tahun, selama beberapa dekad, bekerja ke arah mempromosikan kebebasan dan maruah manusia,” katanya.
Selesai majlis berkenaan, Perdana Menteri menghadiri Program ‘Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming’ yang menjadi platform dialog terbuka antara Perdana Menteri dan warga kampus, khususnya penuntut universiti.
























