Kuala Lumpur, Apr-
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu lapan premis perniagaan runcit dan restoran di sekitar Brickfields di sini malam tadi, kerana disyaki menjual barang kawalan tanpa lesen sah.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, serbuan bermula 9 malam itu dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Hasil serbuan, sebanyak 238 kilogram (kg) minyak masak paket, 64 paket tepung gandum dan 75 paket gula serta 28 tong gas petroleum cecair (LPG) dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5,500,” katanya kepada pemberita selepas operasi berbabit.
Mohd Shahran berkata, tindakan ini dibuat susulan penularan video di media sosial yang memaparkan beberapa premis dikendalikan oleh warga asing tidak mempamerkan tanda harga serta menjual barang kawalan seperti gula, minyak masak, tepung dan gas petroleum cecair (LPG) tanpa kebenaran.
























