Putrajaya, Jan 6
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kilang disyaki memproses ubat batuk tiruan di Mantin, Negeri Sembilan, dan menahan seorang wanita dipercayai bertanggungjawab mengendalikan premis itu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata dalam serbuan itu, sejumlah 10,000 botol ubat batuk siap dibungkus, 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun, kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk memproses ubat berkenaan, turut dirampas.
Kesemua bahan-bahan terbabit bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM236,516,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.