Pamer harga ubat: Tiada saman dalam tempoh tiga bulan

Putrajaya, Mei-
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak berhasrat untuk mengeluarkan notis saman atau apa-apa tindakan kepada hospital dan farmasi yang gagal mempamerkan harga ubat dalam tempoh tiga bulan ‘grace period’ Perintah Pemaparan Harga Ubat.

Sebaliknya kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Farmasi) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Azuana Ramli, Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 yang dilaksanakan bermula Khamis akan menumpukan kepada penguatkuasaan pendidikan.

“Tempoh tiga bulan ini merupakan fasa penguatkuasaan pendidikan, inilah masanya untuk KKM menjalankan advokasi dan melihat bagaimana perintah ini dilaksanakan oleh pihak pelaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kekeliruan industri mengenai perintah pelaksanaan tersebut pada sesi taklimat Inisiatif Pemaparan Harga Ubat di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam.

Sebelum ini portal berita melaporkan aduan oleh Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) mengenai klinik yang dilawati oleh KPDN dan mengeluarkan notis amaran untuk klinik memaparkan harga ubat dalam tempoh tiga hari atau berdepan dengan saman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here