Putrajaya, Mei-
Kira-kira 200 doktor dan pekerja kesihatan berhimpun di Laman Perdana berhampiran Bangunan Perdana Putra di sini, bagi membantah pelaksanaan peraturan mewajibkan klinik swasta serta farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.
Mereka mula berhimpun kira-kira jam 9.30 pagi dan wakil kumpulan itu dijangka menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung bantahan terbabit.
Terdahulu, mereka berhasrat berarak dari Kementerian Kesihatan (KKM) ke PMO, namun difahamkan tindakan itu dibatalkan kerana ada dalam kalangan peserta yang sudah berusia.
Polis sebelum ini mengesahkan sudah menerima notis pemberitahuan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung rancangan untuk mengadakan perarakan bagi bantahan itu.
KKM melaksanakan peraturan baharu bermula 1 Mei lalu, yang mewajibkan semua klinik dan farmasi swasta memaparkan harga ubat-ubatan, dengan tujuan meningkatkan ketelusan serta membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan harga.
Bagaimanapun, MMA menyifatkan arahan itu sebagai tidak praktikal kerana harga ubat kerap berubah bergantung kepada kos pembekalan dan faktor pasaran.
Mereka bimbang maklumat harga dipaparkan boleh mengelirukan pesakit dan menimbulkan salah faham.




















