Langgar Motosikal – Lelaki dipenjara 30 hari, denda RM12,000

Kuala Lumpur, Mei-
Pemandu Nissan Navara yang tular dalam kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap pasangan suami isteri di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta di sini,  dihukum penjara 30 hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

K. Darmaraju, 32, mengaku bersalah sebaik pertuduhan memandu secara melulu yang dibaca di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap, 11 Mei lalu.

Sebelum ini media melaporkan sepasang suami isteri parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Plus berhampiran Plaza Tol Duta.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 53 tahun retak tulang selangka dan luka pada buku lali manakala isterinya berusia 49 tahun yang juga pembonceng motosikal parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.

Pemandu lelaki Nissan Navara tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis pada hari sama sekitar jam 6.55 petang.

Terdahulu, video kemalangan itu tular di media sosial selepas dimuat naik akaun ‘DashCam Malaysia’ dan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here