George Town, Mei-
Taktik seorang lelaki menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah terbongkar selepas dia ditahan dalam satu serbuan di Butterworth, di sini, semalam.
Penahanan suspek, 41, turut membongkar lokasi penyimpanan dadah jenis serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) serta rampasan pelbagai jenis bahan terlarang bernilai RM2.1 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata susulan penahanan suspek di kawasan parkir kereta itu membawa polis ke sebuah pangsapuri yang menjadi lokasi penyimpanan dadah di kawasan Butterworth.
“Risikan mendapati suspek aktif sejak hujung tahun lalu dan jumlah keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan 400,000 penagih jika terlepas di pasaran.
“Antara ditemukan MDMA dianggar lebih 12 kilogram (kg) yang disorok dalam beberapa kotak; 15 paket serbuk ketamin (384 gram), 50 keping kerajang aluminium berisi pil Eramin 5, tiga paket pil ekstasi serta peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang mediai.
“Suspek direman tujuh hari sehingga 22 Mei bagi membantu siasatan, dengan tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 susulan sitaan kereta jenis Mercedes, barangan kemas dan wang tunai.