Kota Bahru, Mei-
Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mencatatkan peningkatan ketara di Kelantan selepas 8,801 kes dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-19 tahun ini, berbanding hanya 2,348 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata angka itu menunjukkan peningkatan lebih tiga kali ganda, menyamai trend jangkitan berlaku pada 2022.
“Daripada jumlah itu, 12 wabak masih aktif melibatkan empat di Pasir Puteh, empat di Kuala Krai serta masing-masing satu di Pasir Mas, Machang, Gua Musang dan Kota Bharu.
“Peningkatan kes berlaku di semua daerah, dengan Kota Bharu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 3,060 kes, manakala daerah lain merekodkan antara 400 hingga 850 kes,” katanya.
Dr Zaini turut memaklumkan trend mingguan kekal tinggi dengan purata 895 kes direkodkan setiap minggu.
Beliau berkata majoriti kes melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah, dengan gejala ringan seperti demam serta ruam pada tangan, kaki, mulut dan lidah.