Akaun bank BERSATU berjumlah RM195 juta terus dibekukan – Mahkamah

Kuala Lumpur, Jun-
Mahkamah Tinggi di sini, baru-baru ini, memutuskan bahawa akaun bank milik BERSATU yang mempunyai RM195 juta akan terus dibekukan sementara menunggu keputusan dua permohonan semakan kehakiman dan prosiding jenayah berkaitan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong, membuat keputusan itu selepas CIMB Bank memohon pengisytiharan mahkamah sama ada ia perlu mengekalkan pembekuan akaun berkenaan atau mengeluarkan dana itu susulan arahan bercanggah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Setiausaha Eksekutif BERSATU, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya.

Bank itu memfailkan permohonan ‘interpleader’ selepas menerima surat tuntutan daripada Muhammad Suhaimi memohon pelepasan dana terbabit yang dimasukkan ke dalam akaun parti oleh Bukhary Equity Sdn Bhd.

CIMB selaku plaintif tunggal, menamakan SPRM, pendakwa raya dan Muhammad Suhaimi sebagai defendan.

Techiong berkata, pertikaian itu tidak dapat diselesaikan dengan mudah kerana isu dibangkitkan sudah menjadi subjek prosiding semakan kehakiman yang belum selesai dan perbicaraan jenayah membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU.

“Pertikaian antara defendan tidak sesuai untuk ditentukan secara ringkas oleh mahkamah ini dalam mendengar ‘interpleader’ bank.

“Itu adalah persoalan undang-undang serta fakta yang dipertikaikan membentuk perkara permohonan semakan kehakiman di Bahagian Kuasa Khas mahkamah ini dan pendakwaan jenayah yang disebut di atas di Mahkamah Sesyen – semuanya masih menunggu perbicaraan dan perbicaraan masing-masing.

“Jika mahkamah ini menyelidik lebih mendalam, kesannya akan merampas domain mahkamah lain yang sepatutnya membuat penentuan muktamad mengenai pelbagai isu yang lebih luas,” katanya dalam penghakiman bertarikh 9 April lalu.

Techiong berkata, Muhyiddin telah didakwa pada Mac 2023 atas kapasitinya sebagai Presiden BERSATU berhubung dana didakwa diterima parti itu, yang memenuhi keperluan bawah Seksyen 52A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) untuk mengekalkan perintah rampasan akaun terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here