Pemuda menyembunyikan diri selepas disyaki terlibat dadah

Seorang pemuda yang dilaporkan hilang di hutan ketika memancing di Kampung Bijuray, Bau pada Rabu lalu dipercayai menyembunyikan diri selepas disyaki terlibat dengan dadah.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, pemuda berusia 28 tahun itu dipercayai menyembunyikan diri di hutan atau di tempat lain selepas disyaki mengambil dadah.

Jelasnya, maklumat baharu itu diperoleh selepas polis menjalankan siasatan ke atas rakan pemuda terbabit yang mengaku mereka ada mengambil dadah di hutan berkenaan semasa pergi memancing pada Rabu lalu (3 Februari).

“Kami akan menjalankan ujian saringan air kencing ke atas rakan mangsa dan siasatan lanjut akan dibuat untuk mendapatkan lebih maklumat berkaitan perkara ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Poge, polis akan meneruskan operasi pengesanan bagi mengetahui kedudukan sebenar mangsa sama ada terlibat dengan pengambilan dadah atau sebaliknya.

“Keutamaan kita sekarang adalah untuk mencari dan menyelamatkan pemuda terbabit,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, komander operasi melaporkan, hasil siasatan dan perbincangan polis dan bomba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 5 petang semalam.

“Ini  kerana hasil siasatan pihak polis dengan rakan mangsa, rakan mangsa mengaku mereka ada mengambil dadah jenis syabu semasa pergi memancing.

“Oleh yang demikian mangsa berasa takut dan menyukarkan pencarian kerana mangsa sebenarnya bersembunyi.

“Operasi akan disambung semula jika ada maklumat terbaru daripada pihak polis,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini, pemuda berusia 28 tahun itu dilaporkan hilang sejak petang Rabu ketika keluar memancing bersama rakannya.

Namun, ketika perjalanan balik, mangsa dan kawannya melalui hutan untuk keluar dari tempat memancing dan kawan mangsa tidak menyedari kehilangan mangsa kerana mangsa berjalan di belakang dan berfikir mangsa terus balik ke rumah.

Laporan polis dibuat abang mangsa kelmarin di Balai Polis Bau selepas mangsa belum pulang ke rumah.

Dalam kes berasingan, jurucakap JBPM Sarawak memaklumkan, wanita berusia 47 tahun yang dilaporkan hilang pada dinihari semalam di Kampung Simpok, Padawan telah dijumpai dalam keadaan selamat.

Jelasnya, mangsa dijumpai oleh ahli keluarganya yang dikatakan bersembunyi di dalam stor di belakang rumah mereka.

Sehubungan itu, operasi SAR telah ditamatkan  jam 5 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here