Kuala Lumpur, June-
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Razak daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy, membuat keputusan membenarkan permohonan Najib minggu lalu untuk mendapatkan DNAA selepas mendapati tempoh masa yang tidak menentu dan tidak pasti yang menyebabkan bekas perdana menteri itu terpaksa berdepan pertuduhan tanpa sebarang penyelesaian.
Muniandy berkata, ia menyebabkan penantian panjang untuk perbicaraan yang menjadi beban berlarutan kepada tertuduh, sekali gus menafikan hak beliau mendapatkan penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya.
Beliau berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas menimbang faktor terdapat kelewatan terlalu lama dalam memulakan perbicaraan bagi kesalahan pengubahan wang haram terhadap Najib dan pelbagai penangguhan diberikan kepada pendakwaan bagi membolehkan mereka bersedia serta hadir untuk mengendalikan kes ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwaan masih belum bersedia memulakan perbicaraan dalam masa terdekat dan masih gagal mendapatkan serta mengumpul dokumen diperlukan sebagai bukti terhadap tertuduh.





















