Syed Saddiq bebas tuduhan rasuah, ubah wang

Kuala Lumpur, Jun-
Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, melepaskan dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman  daripada sabitan dan hukuman atas empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), tujuh tahun lalu.

Ia membabitkan satu kes subahat pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta (RM120,000) dan dua pengubahan wang haram (AMLA) masing-masing (RM50,000).

Dalam membenarkan rayuan bekas menteri belia dan sukan itu, Hakim Noorin Badaruddin berkata perayu sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri semasa perbicaraan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq, 33, untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mendengar keputusan itu, Syed Saddiq yang hadir dengan memakai kot berwarna hitam, meraup muka apabila dia terlepas daripada hukuman bagi kes terbabit.

Membaca penghakimannya dalam bilik mahkamah penuh sesak, beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan penyelewengan secara tidak jujur.

Pada November 2023, Syed Saddiq didapati bersalah bersubahat atas tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1 juta milik Pemuda Bersatu dan satu lagi pertuduhan penyelewengan secara tidak jujur harta lebih RM120,000 juga milik sayap itu.

Bekas ketua Pemuda Bersatu itu juga disabitkan bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sebuah syarikat, Armada Bumi Bersatu Enterprise, yang dikaitkan dengan sayap Pemuda itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here