Amir diberi tugas menteri ekonomi

Kuala Lumpur, Jun-
Jemaah Menteri bersetuju Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan mengambil alih tugas dan fungsi portfolio ekonomi berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri Rabu lalu.

“Tugas utama beliau adalah mengolah dan merombak semula intipati naskah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai ini, dengan mengambil kira maklumat tambahan dikemukakan kementerian serta pandangan dan ulasan diberikan Jemaah Menteri.”

Sementara itu, Amir berterima kasih kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas kepercayaannya untuk beliau memikul tugas di Kementerian Ekonomi.

Ketika ini, beliau berkata, antara tugas utamanya bersama warga Kementerian Ekonomi adalah memuktamadkan naskah RMK13 untuk pembentangan di Parlimen.

“Banyak maklum balas diterima daripada menteri yang memerlukan rombakan semula intipati RMK13 supaya memaparkan dasar keutamaan kerajaan serta meneruskan momentum pembaharuan agenda Ekonomi Madani,” katanya dalam kenyataan.

Amir, yang juga senator, dilantik menteri kewangan II pada Disember 2023.

Jawatan menteri ekonomi kosong susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli selepas kalah dalam pemilihan timbalan presiden PKR.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here