Seremban, Julai-
Tiga sekeluarga ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal, dekat sini, jam 4.53 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata polis menerima maklumat orang awam berkaitan bau busuk dari rumah berkenaan yang berkunci.
“Bertindak atas maklumat itu, pihak polis dan bomba telah ke rumah berkenaan dan memotong kunci mangga pagar rumah terbabit. Pemeriksaan kemudian menemukan tiga mayat dalam keadaan mereput di dua bilik tidur.
“Siasatan mendapati ketiga-tiga mayat adalah ahli keluarga terdiri daripada seorang lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun,” menurutnya dalam kenyataan.



















