Seremban, Julai-
Tujuh individu termasuk pemandu cedera ringan selepas bas ekspres dinaiki mereka terlanggar palang had ketinggian dalam kejadian di Jalan Arab Malaysian, di Nilai.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Azmi Hamid, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membabitkan empat lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an kira-kira 10.30 malam tadi.
“Bas yang membawa 19 penumpang terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kajang, Selangor ke Melaka.
“Semua mangsa yang cedera menerima rawatan di zon hijau Hospital Serdang,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kerja penyelamatan membabitkan sembilan anggota.