Putrajaya, Julai-
Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) secara rasminya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam kenyataan memaklumkan keputusan penyenaraian itu, diumumkan semalam semasa Persidangan ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia Unesco berlangsung dari 6 hingga 16 Julai di ibu pejabat Unesco di Paris, Perancis.
Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan diputuskan 21 ahli Negara Anggota Jawatankuasa Warisan Dunia, selepas usaha pencalonan tapak itu bermula sejak 2013.“FRIM FPS merupakan tapak yang istimewa dan merupakan salah satu inisiatif terawal pemulihan ekosistem hutan tropika berskala besar melalui penanaman semula pokok di bekas kawasan perlombongan bijih timah.
“Usaha ini telah menetapkan penanda aras antarabangsa melalui kejayaan penghasilan satu ekosistem yang hampir menyamai hutan hujan tropika semula jadi, lengkap dengan kepelbagaian spesies pokok yang tinggi serta kaya dengan komposisi biodiversiti,” menurut kenyataan itu.























