Bakar wang tunai RM1 juta dalam bilik mandi

Kuala Lumpur, Julai-

Seorang pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit rasuah membabitkan perolehan tender projek pembinaan pusat data sanggup bertindak membakar wang tunai hampir RM1 juta akibat terkejut dengan serbuan dijalankan anggota suruhanjaya itu.

Menurut sumber, ketika serbuan dijalankan di rumahnya yang terletak di Petaling Jaya pada Khamis lalu, anggota SPRM menemui wang kertas RM100 yang keseluruhannya berjumlah hampir RM1 juta dalam keadaan sudah terbakar.

Katanya, suspek dipercayai bertindak nekad mengambil beberapa bungkusan wang tunai dan cuba melupuskannya dengan membakar selepas melihat kehadiran sepasukan anggota dan pegawai SPRM.

“Selepas pintu rumah berjaya dibuka, anggota SPRM yang membuat serbuan mendapati keadaan dalam rumah berkenaan dipenuhi asap tebal berpunca dari sebuah bilik mandi.

“Hasil pemeriksaan dijalankan di bilik mandi itu, anggota menemui wang kertas RM100 berjumlah RM1 juta yang sudah terbakar,” katanya.

Sumber itu berkata, hasil pemeriksaan menyeluruh di rumah suspek menemui wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disimpan di dalam beberapa kotak bantal, tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier selain barangan kemas seperti cincin serta syiling emas.

Katanya, semua barangan itu kemudian disita SPRM bagi tujuan siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan mengenai tindakan suspek yang membakar wang kertas berkenaan.

Beliau menegaskan, tindakan suspek cuba melupuskan bahan bukti adalah satu kesalahan serius yang boleh didakwa di bawah seksyen 201 Kanun Keseksaan serta membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here