Imigresen serbu taman hiburan, 46 warga asing ditahan

Kajang, Ogos-
Jabatan Imigresen menahan seramai 46 warga asing dalam serbuan di pusat hiburan yang menggajikan pekerja asing tanpa pas sah berhampiran Bandar Sungai Long, di sini, Isnin lalu.

Operasi itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya susulan aduan awam dan risikan selama dua minggu, pada 1.40 tengah hari.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi itu memeriksa 123 individu terdiri daripada 52 warga asing dan 71 warga tempatan.

Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menahan 46 warga asing terdiri daripada 31 lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar, dua lelaki warga Indonesia, tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand.

“Warga asing yang ditahan berusia antara 23 hingga 47 tahun. Semua warga asing terbabit ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Millenium Beranang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Sebanyak empat Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Operasi di Balakong, Puchong

Dalam operasi berasingan pada Selasa, Zakaria berkata, pihaknya turut menahan 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah kilang perindustrian dan pasar raya di Balakong dan Puchong, Selangor.

Katanya, mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, India dan Pakistan berusia antara 18 hingga 49 tahun.

“Semasa serbuan terdapat Pati yang cuba melarikan diri dan bersembunyi, namun berjaya digagalkan oleh pegawai serbuan.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung majikan yang menggaji warganegara asing di lokasi tersebut tanpa memiliki dokumen yang sah,” katanya memaklumkan tahanan ditempatkan di Depoh Imigresen Lenggeng,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here