Pengawal keselamatan maut dalam pergaduhan

Toe tag hanging on woman lying on table in morgue

Kajang, Sep-

Seorang pengawal keselamatan maut selepas diserang rakannya menggunakan senjata tajam dalam pergaduhan di sebuah kawasan perumahan di Semenyih pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 1.13 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori.

Menurutnya, pemandu lori itu turut cedera di bahagian jari selepas terkena senjata tajam ketika berlaku perselisihan faham dengan rakan-rakan semasa mereka minum minuman keras di sebuah padang kawasan perumahan.

“Selepas insiden tersebut, lima individu yang berada di lokasi beredar. Bagaimanapun, sekitar jam 4.30 pagi, rakan kepada pengadu yang tidak berpuas hati pergi mencari lelaki yang mencederakan pengadu di deretan rumah kedai di Semenyih.

“Sebaik tiba, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan diserang dengan senjata tajam sehingga mengalami kecederaan di tangan dan badan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, mangsa dikejarkan ke hospital dengan bantuan rakan-rakan namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.

“Susulan itu, polis menahan lima lelaki tempatan berusia 31 hingga 37 tahun yang dipercayai terbabit bersama beberapa barang rampasan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here