Lakukan Karate Kata pakai ‘kasut berpaku’

Seremban, Okt-
Aksi luar biasa seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun V. Vasanth Abhinandan membuat pergerakan Karate Kata dengan memakai “kasut berpaku” selama 10 minit melakar sejarah tersendiri apabila namanya diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Pengiktirafan kepada murid tahun dua itu menerusi kategori “Pergerakan Karate Kata Terbanyak Di atas Paku oleh Seorang Kanak-kanak” dalam masa 10 minit.

Lebih menarik, idea unik untuk melakukan persembahan karate itu adalah daripada Vasanth Abhinandan sendiri yang mahu menonjolkan kelainan berbanding ahli karate yang lain.

Bapanya K. Vasantha, 41, berkata, anak tunggalnya itu mengambil masa setahun untuk berlatih dan membiasakan diri menggunakan kasut yang ditempah khas.

“Anak saya seorang yang sangat aktif, dia mula belajar karate sejak umur tiga tahun dan berjaya peroleh pelbagai kemenangan pada kejohanan karate kanak-kanak dalam dan luar negara.

“Selain mencatat nama di MBR, Vasanth Abhinandan turut mencipta nama dalam Yoga Asia World Record 2025 apabila berjaya berdiri sebelah kaki paling lama bagi kategori kanak-kanak pada Julai lepas,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sijil penghargaan daripada Pegawai Rasmi MBR, Siti Hajar Johor, di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here