Kuala Lumpur, Okt-
Seorang pelajar Tingkatan Satu (kelas peralihan) didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini minggu lalu.
Remaja berusia 14 tahun yang memakai baju lokap berwarna oren mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Amira Sariaty Zainal.
Mengikut pertuduhan, tertuduh juvana itu didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga (kelas peralihan) di bilik tandas nombor dua sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi 14 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup atau tempoh tertentu, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes.